Negara Kita

YANG ANEH-ANEH OLEH FAISAL TEHRANI 
 
ANEH! Begitu kata kawan saya Abdullah Komurcu yang sudah berada di
Malaysia dalam setahun. Yang aneh-aneh terlalu banyak di Malaysia,
tambahnya lagi. Beliau merujuk kepada banyak perkara yang sebetulnya
membingungkan, itu kata beliau. Juga kata hati saya, tetapi kerana ia terlalu
lazim di Malaysia maka ia tidak lagi jadi membingungkan meskipun ia adalah
sebetulnya sesuatu yang amat mengelirukan. Jika kita kata ini sesuatu
yang mengelirukan kita pula yang dituduh keliru. Maaf artikel ini lebih
mengata pembaca beragama Islam. Ini bulan raya, lagi pun agama itu
nasihat.

Contoh? Begini. Kawan saya itu merujuk berita seorang artis menunaikan
umrah kemudian pulang masih menyanyi, masih mengenakan pakaian seksi
dan macam-macam lagilah. Bila orang tanya dia balas semula dengan
jawapan, ini antara saya dengan Allah. Eh-eh bukan di dalam Islam antara Allah
dengan kita ada kaitan dengan lain-lain manusia juga?

Kemudian kata sahabat saya itu, lebih aneh dia melihat remaja atau
gadis bertudung kemudian mengenakan t-shirt lengan pendek. Di mana konsep
menutup auratnya? Atau di sekolah bertudung labuh kemudian pulang
sekolah tidak sabar-sabar lagi menayangkan rambut merah blonde yang baru
diwarnakan.

Atau, contoh lain, gadis bertudung kelihatan sopan, menegurnya di dalam
tren dengan penuh manja dan menawarkan ‘saya boleh bawa pergi
jalan-jalan di Genting’. Bila saya tiba dan sergah gadis itu kerana perangai
buruknya, dia marah pula pada saya. “I just want to be friendly.”

Eh-eh ini Malaysiakah? Bukankah ini negara Islam? Atau bukankah Turki
yang sepatutnya lebih teruk kerana mereka dilanda fahaman sekularisme
lebih awal dari kita? Sahabat saya itu jadi lebih ‘terkejut kerbau’
melihat ada artis wanita bertudung sempurna kemudian menyanyi lagu seperti
pop. ‘Ini aneh.’ Katanya.
‘Ini Islam cara Malaysia, kita berbangga kita terbuka.’ Tukas seorang
teman saya, orang tempatan yang rasa bertanggungjawab mempertahankan
‘Malaysia’.
Dan apa pendirian saya? Kenapa mempertahankan dan melindungi perkara
yang nyata salah?

Pengalaman saya di Turki yang paling besar ialah menyedari bahawa hak
dan batil jelas dan ketara terpisah. Kalau sudah mungkar takkan
bercampur dengan makruf. Tak mungkin bertemu. Tutup aurat cara separuh seperti
yang diamalkan di Malaysia bukan kebiasaan di Turki dan bukan kebiasaan
wanita dengan penuh ‘mesra’ menawarkan ‘mahu bersiar-siar bersama’.
Tak terjadi wanita bertudung bujang keluar berjalan iseng-iseng dengan
teman lelaki meskipun di dalam kumpulan. Tak ada lagu pop dengan lirik
Islami. Atau tak mungkin artis pop seperti Guben Ergen atau Emre Altug
menunaikan umrah kemudian hebohkan pada semua peminat dan media, baru
pulang dari umrah dan hati sudah tenang asyik teringat kaabah tetapi tetap
melalak sampai nampak anak tekak dan tetap tayang pusat.
Eleh biasalah. Kolot betul Faisal Tehrani ini sejak dua tiga bulan
inikan. Ikut ajaran sesatlah agaknya si Faisal sekarang.

Eh-eh apa dah jadi dengan ‘budak-budak’ kita?
Eh-eh, macam tak sedarkah ini berlaku selama ini?

Jadi perlukah kita terkejut jika ada daging babi bercampur dengan
daging ayam di stor simpanan daging sebelum di jual ke pusat membeli belah
lalu ditag dengan tanda HALAL? Perlukah kita terperanjat di kedai 24 jam
air soya di rak bawah, beer atau arak di rak atas? Sedangkan di
kaunter bank kita di sebelah ialah kaunter muamalah di sebelah ialah kaunter
kewangan cara sekular. Kitakan rayakan Krismas dan hari raya sama-sama.
Apa salahnya. Baguslah orang Malaysia terbuka.

Pokoknya halal dan haram bersatu.

Di Malaysia kita buat begitu! Kita bangga, kita kata ini Islam cara
kita. Eh-eh Islam cara kita yang betul ke atau Islam cara yang disimpulkan
di dalam al-Quran dan ditunjukkan oleh Nabi yang betul? Mana satu yang
betul? Eh-eh kita keliru ke? Takkan kita keliru? Ini telah diamalkan
sekian lama. Dia orang Turki, dia yang tak tahu, dia yang lagi keliru.

Eh-eh anehnya kita di dalam dunia yang kita tidak tahu mana satu makruf
mana satu mungkar dan noda. Kerana itulah saya pernah terperanjat
besar bila seorang gadis bersolat dan berpuasa tapi duduk bersekedudukan
dengan teman lelakinya berbangsa Iran. Bolehkah ini berlaku, eh-eh inikan
Malaysia. Nak hairan apa!
Mashaallah seteruk itukah kita tidak nampak mana yang hak dan mana yang
batil. Patutlah! Allah sudah tutup pintu hidayahkah untuk remaja kita?
Atau Allah sudah gelapkan hati kita sebegitu busukkah hingga sudah
tidak kenal lagi mana yang betul mana yang salah dan bila ia bercampur
baur kita sangka itu lebih baik dan cool?

Bukankah di dalam sembahyang kita minta jalan lurus sahaja Ya Allah
yang Kau tunjukkan pada kita. Jangan jalan lain. Jalan campur aduk pun tak
mahu.
Di mana duduknya kita? Teman-teman selalu bertanya, kenapa saya begitu
tergiur dengan Turki (negara orang) dan duduk di sana lama-lama.
Jawapan saya, saya nampak mana yang betul mana yang salah. Hitam putih jelas
terang. Dan saya tak perlu risau iman saya berkarat dimasuki unsur
nifaq. Yang saya selalu minta dalam doa lepas sembahyang, Tuhan jangan
jadikan saya orang munafik. Saya takut!
Itu yang membuatkan saya memandang lebih tinggi ‘negara orang’.
Macam bagus sahaja Faisal sekarang.
Eh-eh nak jadi baik pun dipandang serong?
Saya sedih hati dan terlalu berduka dengan keadaan di Malaysia, keadaan
yang menimpa remaja-remaja kita. Mana tidaknya kekeliruan adalah
kebenaran. Masalah kita di Malaysia bukan masalah ilmu.

Kita kreatif, bangsa Malaysia lebih kreatif dari bangsa-bangsa lain,
saya sahkan ini setelah banyak mengembara. Mana ada masyarakat yang boleh
menjadikan nasi putih kepada ratus macam nasi lain. Roti canai boleh
diintikan nenas apatah lagi pisang. Itu baru perkara mudah-mudah kita
sudah kreatif. Bakat kita sudah diterima dan diiktiraf.

Justeru apa masalah lagi, kita bagus dan lebih pandai apa? Kata
Abdullah, sebelum ini jika dia lihat cawan dengan tulisan dibuntutnya Made In
Malaysia dia akan beli berbanding cawan dengan tertera tulisan Made In
Taiwan kerana ‘Malaysia negara Islam’, sekarang dia rasa sangsi.

Dia naik keliru. Islam apa begini? Kita Islam dengan hadharah, kita
berilmu.
Tentu, berilmu dan bijak serta berpengetahuan seperti masyarakat
Malaysia mesti datang seiiring dengan adab dan akhlak. Masalah kita ialah
masalah akhlak. Kalau tidak masakan tidak saya akan menganga mendengar
cerita ada gadis remaja Melayu menggesel bahagian tubuhnya kepada teman
saya di dalam LRT.

Come on Faisal, apa salahnya, budak perempuan itu mengaji khatam
al-Quran apa! Dia tahu tajwid lebih dari engkau.

Jadi sayalah yang berdosa? Eh-eh kelirunya!

0 orang komen:

Sejukkan Minda~